| DIPETIK DARI SEBUAH LAMAN WEB.... | |
|
UMRAH Umrah disebut juga sebagai haji kecil. Sungguhpun dihukumkan sunat tetapi pahalanya sangat besar bila dikerjakan. Ia boleh dikerjakan bila-bila masa disepanjang tahun. Di dalam kitab sahih Bukhari menyebutkan: Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi bersabda' maksudnya: "Umrah ke umrah yang lain adalah menghapuskan dosa di antara keduanya. Haji Mabrur itu tidak ada balasannya melainkan syurga". Mengerjakan ibadah umrah kini telah menjadi trend kepada keseluruhan umat Islam, khasnya juga tidak terkecuali kita di Negara Brunei Darussalam. Trend ini menggambarkan suatu perkembangan yang sihat dalam konteks kehidupan beragama dikalangan umat Islam. Sememangnya aktiviti ini lebih baik daripada mengadakan lawatan ke destinasi-destinasi lain. Lebih besar lagi pahalanya, jika ibadah umrah itu dikerjakan dalam bulan Ramadhan, kerana ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan itu dilipat-gandakan pahalanya oleh Allah. Di samping itu, suasana di tanah suci juga pada masa itu lebih menggalakkan orang untuk benar-benar bertaqarrub dan khusyu kepada Allah. Di sana kita betul-betul dapat merasakan betapa hampirnya Akhirat serta betapa juga semua aktiviti yang bersifat duniawi adalah kabur dan malap buat sementara. Selain daripada kelebihan kerana ia dikerjakan dalam bulan Ramadhan, kelebihan yang lain lagi ialah kerana kita dapat beribadat di dua buah masjid utama iaitu Nasjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Haram di Mekah. Menurut Hadis Sahih, satu sembahyang di masjid Nabawi lebih afdhal dari seribu sembahyang di Masjid yang lain, kecuali Masjid al-Haram. Di dalam kitab sahih Bukhari menyebutkan sebuah hadis dari Atha' yang didengarnya daripada Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu mengenai seorang perempuan yang berhalangan untuk menunaikan haji kerana suatu pekerjaan yang tidak dapat ditinggalkan, lalu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Jika demikian, maka nanti apabila telah tiba bulan Ramadhan, hendaklah kau mengerjakan umrah ketika itu, sebab sesungguhnya sekali umrah dalam bulan Ramadhan itu sama dengan sekali (haji) atau pahala menyamai dengannya." Trend tersebut merupakan suatu perubahan dalam fenomena sosial yang sekaligus merubah hala tujuan destinasi percutian sama ada secara persendirian, perkumpulan atau berkeluarga. Aktiviti ini tidak syak lagi sangat menguntungkan kerana di samping dapat beribadah di tanah suci ia juga memberi peluang untuk melancong, melihat tempat-tempat bersejarah dan lain-lain. Ia juga akan berfungsi mengembalikan ingatan kita kepada pengorbanan dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di zaman silam, yang sekaligus menambahkan cinta kasih kita kepada Baginda. Sehubungan dengan ini, secara tradisinya tidak lama lagi negara kita akan beralih pula kepada persiapan jemaah haji ke tanah suci. Al-Hadaf dengan amat sukacita turut mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji dan semoga beroleh haji yang mabrur.
|